Sunday, October 13, 2019

Bunga Kekwa Kuning


Assalamualaikum dan salam sejahtera 💕

Selepas lama tak jenguk blog, malam ini saya cari kesempatan menjenguk dan cuba untuk menyiapkan entri ini. Kali ini saya nak bebel tentang bunga kekwa. Saya memang suka sangat bunga kekwa. Kekwa adalah bunga favourite saya selain bunga daisy. Tahun 2005 saya ada tanam bunga kekwa. Saya beli di tamu bandar. Warna putih, unggu dan kuning. Bertahanlah juga untuk beberapa tahun. Tapi bila mood malas saya datang, bunga saya habis semua mati. Masa itu memang saya malas nak jaga dan siram.


Bila saya ingat semula, rasa menyesal pula sebab tak jaga. Sekarang baru terhegeh2 nak cari dan beli bunga baru. Bunga kekwa kuning ini saya bela sekitar tahun 2007 macam tu. Mulanya bunga ini hanya dari keratan batang yang saya beli di Kundasang. Masa itu sejambak bunga, masih boleh dapat dalam harga RM10. Dapatlah sejambak bunga kekwa yang bercampur2 warna. Tapi masa ni saya beli jambangan bunga kekwa campur dengan ros.

Kakak saya kata, ada kawan dia tanam ros guna keratan bunga daripada jambangan bunga. Saya pun cubalah tanam keratan kekwa ini. Kalau ros boleh, mesti kekwa pun boleh. Mulanya saya hanya mencuba. Tak berharap sangat sebab setahu saya kekwa ditanam daripada cabang baru (anak) yang muncul di batang atau pangkal pokok. Tapi selepas berminggu-minggu tunggu, akhirnya pokok itu mula tegak daun-daunnya. Yehhh...happy saya. Berjaya juga tanam bunga kekwa. Alhamdulillah.

Seronok saya itu, sampai saya jaga sangat pokok bunga ini. Asal ada anak dia muncul, saya rajin pindah pasu lain. Pokok ini tak cerewet dan agak tahan lasak. Ada sepasu saya letak di bawah pokok rambutan. Subur je dia. Padahal siram pun jarang-jarang. Kuasa Allah, dia yang hidupkan bunga kekwa ini. Bila saya tengok bunga kekwa saya mesti teringat zaman kanak-kanak saya dulu. Arwah mak saya dulu rajin tanam bunga dan salah satu bunga yang dia tanam, bunga kekwa. Rindunya masa itu....


Salah satu sebab saya tanam bunga kekwa sebab saya nak ubat kerinduan saya pada rumah lama, arwah mak dan zaman kanak-kanak saya dulu. Sekarang ini saya nak cari kekwa warna unggu dan merah. Saya juga baru tahu, bunga kekwa sebenarnya memang boleh di tanam melalui keratan batang. Hehe...saya yang tak tahu. Maklumlah dulu bukannya banyak info macam sekarang.

Ok cukup dulu bebel mokcik. Nanti sambung lagi bebel tentang kekwa di entri akan datang. Wassalam.

Sunday, September 8, 2019

Tulip Jingga


Assalamualaikum dan salam sejahtera 💕
Tulip Jingga...nama yang saya gunakan di blog ini. Untuk Instagram dan Facebook pun saya guna nama yang sama. Mula-mula nak guna nama samaran Mentari Jingga. Sejak dulu saya memang suka nama Mentari Jingga. Tapi tak jadi guna sebab ramai yang dah guna nama tu di FB, Terpaksalah saya ganti Mentari dengan Tulip dan maka jadilah Tulip Jingga. 

Ikutkan senarai bunga kegemaran saya, Tulip bukanlah yang teratas. Malah saya pun tak pernah tengok bunga Tulip depan mata. Saya cuma tengok dalam majalah, TV dan di Google. Tapi saya memang suka tengok sebab cantik sangat. Saya pernah jumpa trust saller jual pokok bunga Tulip ini. Memang teringin juga nak tanam. Tapi mengingatkan saya bukan jenis yang lucky sangat dalam tanam menanam ini, saya terpaksa lupakan saja niat itu. Saya lebih memilih untuk tengok gambar bunga Tulip saja. Cukuplah...hati dah senang dan sangat terhibur.   

Ya, dengan tengok gambar bunga-bungaan pun memang saya dah terhibur dan rasa tenang. Tak kiralah dalam TV, masa google2 atau masa jalan2 di luar. Pasti yang depan mata lebih terasa seronoknya. Kalau saya jalan kemana-mana, saya memang tak lepaskan peluang untuk ambil semua bunga yang saya jumpa. Dilaman rumah orang pun saya akan ambil gambar. Kadang2 terpaksa curi-curi gambar bagi mengelak orang lain perasan. Kadang-kadang orang bukannya faham hobi kita yang suka ambil gambar bunga. Jadi adakalanya terpaksa sembunyi2 ambil gambar 😂 . 

Walaupun bunga Tulip bukan dalam senarai teratas bunga kegemaran saya tapi untuk bunga oversea, Tulip memang jadi bunga pertama dalam senarai yang saya suka. Kebetulan, sejak kecil lagi saya memang dah biasa tengok bunga Tulip yang selalu jadi latar belakang mana-mana kalendar dan cover album gambar. Sampai sekarang saya masih simpan album gambar yang covernya guna gambar kebun bunga Tulip di Belanda. Malah saya berharap tak lama lagi, saya akan berkesempatan menjejak kaki di tempat gambar tersebut diambil...amiin. 

Gambar-gambar bunag Tulip dalam entri ini semuanya gambar yang saya google. Credit untuk mana-mana laman yang gambarnya saya guna.

Cantikkan bunga Tulip warna jingga ini? Jingga bukanlah warna kegemaran saya cuma saya suka sebutan nama jingga sebab orang jarang sebut. Warna pun tak berapa nak ada berbanding warna biru, merah, putih. hijau, unggu dan kuning. Semua tu warna biasa-biasa yang kita jumpa sehari-hari. Tapi tdak warna jingga. Memang tak selalu jumpa. Hanya sejak kebelakangan ini saja, banyak warna yang diketengahkan antaranya warna jingga atau yang seaakan-akan jingga.

 Tengoklah tepi-tepi tasik pun merata saja bunga Tulip ini tumbuh. Cantik sangat.

MasyaAllah...cantik sangat ciptaan Allah SWT.  Bagaikan di syurga...erkk macamlah dah pernah masuk syurga 😄. InsyaAllah, Nanti itulah rumah kekal kita semua... Kebiasaan manusia, bila lihat yang cantik dan memukau kita akan kaitkan dengan syurga, kan.

 Ini pun cantik sangat...subahanallah

Gambar yang paling saya suka. Kebun bunga Tulip yang berlatar belakangkan kincir angin. Tak pasti ini di negara mana. Mungkin di Belanda sebab negara itu yang paling terkenal dengan bunga Tulip. Sekali lagi saya berdoa moga dilimpahkan rezeki oleh Allah SWT dan dapat jejak kaki di bumi Belanda. Amiin...


 MasyaAllah...cantik dan buat saya jatuh cinta sangat2.

Tulip Jingga 💕

Thursday, September 5, 2019

Bunga Rose Jepun

Assalamualaikum dan salam Sejahtera 💕

Sudah berminggu saya nak buat entri tentang bunga ros Jepun ini. Buka laptop tapi tak ada mood mengarang ayat. Malam ini barulah saya kuatkan hati untuk menyiapkan entri ini. Kalau nak tunggu mood entah bila nak datang. Baik paksa diri untuk buat. 

Bunga ros Jepun ini tak asing bagi saya sebab sejak kecil saya memang dah biasa tengok. Kakak saya dulu tanam bunga ros Jepun warna merah jambu dekat dengan tangga rumah kami. Masa itu, kami tak sebut pun bunga ini bunga ros Jepun tapi bunga pukul 9. Bunga ini kembang sekitar jam 8-9, sebab itu namanya bunga pukul 9.

Dulu-dulu, susah sangat cari bunga pukul 9 yang pelbagai warna. Seingat saya cuma warna merah jambu itu sahaja. Tapi waktu kami tinggal di Ipas, kakak saya tanam banyak jenis bunga pukul 9 berlainan warna. Cantik-cantik semuanya. Masa di Ipas juga, kakak saya banyak tanam bunga ati-ati. Nanti next entri saya cerita tentang bunga ati-ati pula.

Sekitar tahun 2013, saya mula tanam bunga pukul 9. Masa tu saya baru tahu nama bunga ini bunga ros Jepun. Ada juga yang panggil bunga ini sebagai bunga cornation. Tapi saya lebih selesa dengan nama bunga pukul 9. Saya sanggup beli bunga ros Jepun yang banyak dijual di tamu bandar. Adalah dalam 6-8 jenis dalam koleksi saya. Ada sebahagiannya saya minta dengan kawan.

Bunga ros Jepun saya cukup subur walaupun tak guna baja. Hanya guna tanah sawit sahaja. Saya tak suka guna baja. Kalau kita pandai jaga, tak letak baja pun bunga tetap subur. Lagipun saya ingat arwah emak saya dulu, tanam bunga tanpa letak apa-apa baja. Tapi bunga semua subur dan sentiasa berbunga.

Tahun 2016 bunga ros Jepun saya diserang kutu putih. Saya cuba rawat tapi hampir semua batang bunga diliputi kutu-kutu ini. Pandai terbang lagi. Itu yang susah saya nak selamatkan bunga-bunga ros Jepun saya. Saya tak guna racun atau apa-apa pun. Mungkin sebab itu kutu-kutu ini hidup subur. 

Sudahnya saya buang semua bunga-bunga itu. Nak tanam balik pun susah sebab sisa-sisa kutu masih ada. Selagi tak musnahkan semua bunga, selagi itulah kutu-kutu itu membiak dan serang bunga yang lain. Sakit hati juga tapi nak buat macam mana. Lepas itu, saya terus tak ada mood nak tanam bunga ros Jepun lagi.

Semua gamabr-gambar bunga ros Jepun ini, gambar-gambar yang saya sempat ambil dulu. Nasib baik saya rajin ambil gambar, ada juga kenangan. Siang tadi saya semai bunga ros Jepun semula. Tak banyak. Ada 2-3 jenis sahaja. Itu pun sisa-sisa bunga yang dulu. Antaranya yang warna merah jambu dan merah. Dua warna ini memang tahan lasak.
Boleh pula tercantum dua bunga ini. Macam mana jadi, tak tahulah. Kuasa Allah SWT.

 Merah  hati

 Putih suci

 Jingga

Ini putih dan pink. Ala2 aiskrim warnanya. Cantik tapi kurang tahan dengan serangan penyakit dan kutu-kutu putih

 Putih bersih

Merah jambu. Ini yang paling tahan lasak. Bunga ros Jepun warna macam inilah yang kakak saya tanam masa di rumah LD dan rumah di Ipas dulu.

 Merah hati

 Pink terang

 Merah hati

Peach

Nama sainstifik bunga ros Jepun ini Portulaca grandiflora. Selain nama ros Jepun, bunga ini juga dikenali sebagai  rose moss, ten o'clock, Mexican rose, moss rose, Vietnam Rose, sun rose, rock rose, and moss-rose purslane. Lain negara lain nama. Ros Jepun juga mudah untuk membiak dan berbunga. Bunga ini juga tak cerewet. Asal rajin siram dan dedahkan pada cahaya matahari, itu sudah cukup buat bunga ini merimbun dan berbunga banyak. Tak perlu susah2 letak baja pun.

Oklah, panjang bebel mokcik Tulip kali ini. Cukuplah, idea pun dah habis. Assalamualaikum...

Sunday, August 11, 2019

POSTING PERTAMA


Assalamualaikum dan salam sejahtera 💕

Testing, testing...posting pertama untuk blog baru. Baru kejap tadi saya create blog ini dengan nama BILA BUNGA BERBICARA. Daripada tajuk pun dah tahu, blog ini berkaitan dengan bunga-bungaan. Saya buat blog ini untuk saya simpan gambar-gambar bunga yang saya ambil. Baik bunga yang saya tanam sendiri, maupun bunga-bunga di tepi jalan atau rumah orang lain.

Bukan tak boleh simpan dalam folder laptop, boleh. Tapi kalau simpan dalam blog boleh juga catat apa-apa berkaitan gambar tersebut. Lagipun saya memang jenis yang suka menulis. Walaupun tulisan dengan ayat hancur dan salah tatabahasa. Tapi peduli apakan...itu lebih baik dari tak tulis langsung. Kalau tak tulis langsung saya takut kemahiran membaca, mengeja dan menulis saya hilang.

Maklumlah umur semakin meningkat, semakin banyak nikmat yang sudah ditarik semula. Sedikit demi sedikit...contoh paling nyata, mata yang sudah hilang sedikit keterangannya. Maksudnya mata dah mula kabur. Ingatan juga semakin samar-samar. Dengan blog dan catatan yang saya buat, dapatlah kurangkan sedikit masalah lupa dan samar-samar ingatan itu.

Okeylah, nanti saya sambung membebel di posting lain. Saya nak hias blog ini dulu. Semoga saya akan terus rajin menulis di blog ini. Wassalam.